Skip to main content

Aktiviti & Program

DARI SISA MAKANAN KE EKONOMI KITARAN: PULMAS TEROKA POTENSI BSF DI PBBSF MDPT

2 Oktober 2026 – Pendekatan Black Soldier Fly (BSF) terus mendapat perhatian sebagai kaedah inovatif dalam menguruskan sisa makanan apabila Pusat Latihan Pemasyarakatan (PULMAS), Jabatan Penjara Malaysia mengadakan lawatan teknikal ke Pusat Bioremediasi Black Soldier Fly (PBBSF), Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT). Lawatan ini disertai seramai tujuh orang delegasi dan diketuai oleh TPP Muhammad Audi bin Nazari.
Lawatan yang disertai tujuh orang delegasi itu bertujuan mendapatkan pendedahan berkaitan kaedah pengurusan sisa makanan menggunakan BSF serta meneroka potensi kerjasama antara PULMAS dengan PBBSF MDPT. PULMAS sebelum ini turut menyatakan hasrat untuk membina hubungan dua hala dengan MDPT melalui lawatan tersebut.
Menariknya, pendekatan yang diterokai bukan sekadar berkaitan pengurusan sisa, malah berpotensi membentuk ekonomi kitaran melalui hubungan antara sumber sisa makanan, pertanian dan penternakan. PULMAS sedang meneliti kesesuaian pendekatan BSF untuk diaplikasikan di Pusat Latihan Pemasyarakatan (PULMAS), Pelangai, yang bakal menjadi platform latihan kepada kakitangan penjara dan banduan akhir dari seluruh Malaysia.
Antara potensi yang dikenal pasti ialah pengurusan sisa makanan daripada restoran, kantin dan kafe penjara serta institusi berkaitan untuk dimanfaatkan semula melalui pendekatan BSF. Hasilnya pula berpotensi menyokong aktiviti pertanian dan penternakan seperti ternakan ikan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber input makanan ternakan yang perlu dibeli dari luar.
Dalam lawatan tersebut, delegasi turut diberi penerangan mengenai pengalaman PBBSF MDPT dalam membangunkan jaringan pengurusan sisa makanan serta proses pengolahan sisa kepada produk yang mempunyai nilai guna. Sebagai langkah susulan, produk BIOFRASS keluaran PBBSF MDPT turut diserahkan kepada pihak PULMAS untuk tujuan percubaan dan penilaian, khususnya bagi melihat kesesuaiannya dalam aktiviti pertanian dan tanaman.
Lawatan ini membuka ruang kepada PBBSF MDPT sebagai salah satu pusat rujukan dan perkongsian pengalaman berkaitan teknologi BSF, selain berpotensi menjadi titik mula kepada kerjasama lebih luas antara PBT, institusi penjara, komuniti dan sektor industri dalam mengubah sisa makanan menjadi sumber yang bernilai.
Daripada sisa → kepada sumber → kepada nilai = Inilah ekonomi kitaran melalui BSF.
#MDPerakTengah
#PBBSF
#BlackSoldierFly
#LocalAgenda21
#PerakBersihSihat
#PerakSejahtera2030
#EkonomiKitaran
#MengurusSisaMenciptaNilai

Pulmasbsf

Pulmasbsf 1

Pulmasbsf 2

Pulmasbsf 3