Penduduk Gembira Masalah Tanah Selesai.
Isnin, 08 September 2008

KAMPUNG GAJAH 11 Feb. – Sebanyak 1,800 penduduk di sini gembira kerana masalah hak milik tanah mereka berjaya diselesaikan oleh kerajaan sekali gus menunaikan janji pilihan raya 2004.


Penyelesaian terbesar adalah masalah hak milik tanah 1,350 peserta Rancangan Pembangunan Tanah Felcra Changkat Lada yang tergendala lebih 10 tahun dan hak milik tanah kelapa sawit melibatkan 80 orang bekas tentera di Pasir Kubu Barat.


Antara yang berjaya diselesaikan, permohonan tapak kubur penduduk Kampung Sungai Galah, hak milik 70 petani di Kampung Sungai Buaya, Seberang Perak dan hak milik tanah 20 penduduk Perkampungan Tersusun Teluk Memali.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Kampung Gajah, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, semua masalah berkenaan dapat diselesaikan sebagaimana janjinya ketika kempen pilihan raya tahun 2004.


Katanya, kejayaan ini dicapai hasil kerjasama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, Pejabat Tanah dan Daerah Kampung Gajah dan pihak pengurusan Felcra.‘‘Masalah yang dihadapi masyarakat tempatan itu bukan mudah untuk diselesaikan dalam masa singkat. ‘‘Bagaimanapun masalah itu akhirnya dapat diselesaikan apabila ada kerjasama dan kesungguhan semua pihak terutamanya Menteri Besar ,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.Tajuddin berkata, Tajol Rosli akan mengadakan lawatan ke DUN Kampung Gajah dan DUN Sungai Manik esok untuk meninjau tahap pembangunan di sekitar kawasan berkenaan serta menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat.


Selain lawatan, Menteri Besar itu turut menyampaikan beberapa geran hak milik tanah yang sudah diluluskan kerajaan negeri kepada penduduk tempatan terbabit.Beliau berkata, Menteri Besar juga bersetuju menyampaikan 193 hak milik tanah tapak perumahan kepada generasi kedua peserta Rancangan Pembangunan Tanah Felcra Bandar Baru Seberang Perak.Menurutnya, setiap pemilik dianugerahkan tapak rumah seluas 5,400 kaki persegi melalui projek fasa pertama.


‘‘Pemilik terbabit dikehendaki membina rumah yang akan dikendalikan pemaju swasta yang dilantik Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT),” katanya.Tajuddin berkata, pemilik tanah juga akan menikmati skim pinjaman khas melalui dana yang disediakan kerajaan sebanyak RM1.0 billion.Katanya, mereka boleh memohon pinjmaan mudah itu melalui Bank Islam (M) Berhad (BIMB) dan Bank Simpanan Nasional (BSN).


Katanya, seramai 30 belia akan menerima surat pelantikan menjadi mentee projek ladang mempelam di Sungai Galah seluas 60 hektar.Beliau berkata, tanah terbabit yang sudah ditanam pokok mempelam akan diserahkan kepada belia terbabit untuk diselia sehingga menghasilkan buah.Menurutnya, setiap peserta yang diberi hakmilik tanah seluas dua hektar itu dijangka memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM3,000.


Dalam masa sama, Menteri Besar turut menyerahkan hakmilik tanah kepada 70 pesawah di Kampung Sungai Buaya seluas 120 hektar.Tajuddin berkata, pesawah terbabit kini boleh menarik nafas lega apabila masalah mereka sejak lebih 10 tahun lalu dapat diselesaikan.


Katanya, Menteri Besar juga akan menyampaikan hak milik tapak perumahan kepada 20 penduduk Perkampungan Tersusun Teluk Memali yang bermasalah lebih lima tahun lalu.‘‘Tajol Rosli juga di jangka menyampaikan beberapa buah basikal yang disumbangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada pelajar miskin tempatan,’’ katanya.


Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Negeri Perak akan mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Pilihan Raya Parlimen Pasir Salak dan DUN Kampung Gajah.Pada sebelah petang, beliau akan melawat Bilik Gerakan Pilihan Raya DUN Sungai Manik di Langkap.


Beliau juga dijadualkan melawat projek pengairan moden Kerian-Sungai Manik berharga RM60 juta selepas itu.Projek itu menyediakan kemudahan saliran moden ke sawah dengan diselia melalui sistem komputer.Tajuddin berkata, pembinaan projek itu di jangka membantu kerajaan mencapai sasaran keluaran hasil padi 10 tan matrik sehektar setiap musim menuai